CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

nuffnang

31 May 2010

Lawatan Ke Songkla Di Tangguhkan

Sebenarnya aku baru menerima pandangan dan arahan daripada Pengerusi NUTP Cawangan Selangor agar penangguhan lawatan ke selatan Thailand iaitu di Songkla. Simpati kepada kawan-kawan yang telah merencana percutian ke sana. Sebenarnya aku adalah Pengerusi Biro Bahasa Melayu merangkap Naib Setiausaha NUTP Cawangan Selangor. Setelah 2 kali bermesyuarat bersama AJK biro, berbincang dengan AJk penuh NUTP cawangan, persetujuan telah diambil agar lawatan dibuat pada 16. 06. 2010 hingga 20. 06.2010. Antara lawatan di sana adalah sekolah rendah, Universiti Songkla dan pusat pembelajaran Bahasa Melayu. Bagaimana rasanya belajar Bahasa Melayu di kalangan guru bukan berbangsa Melayu. Walhal ramai pelajar Melayu yang gagal dalam Bahasa Melayu walaupun berbangsa Melayu dan guru berbangsa Melayu. Di samping itu kami akan mengadakan seminar Bahasa Melayu oleh Sdr. Awang dan Sdr. Anuar Ibrahim. Kedua-duanya pegawai NUTP daripada Terangganu.

Aku sendiri rasa gembira kerana lawatan ini ditangguhkan kerana aku tidak dapat menyertai lawatan kerana isteri aku akan mengambil jubah konvokesyen pada 20. 06.2010 dan pengijazahan pula pada 21. 06. 2010 Putra Trade World Centre ( PWTC ). Tak nak tinggal isteri seorang dan anak-anak. Ke Thailand lain kali boleh pergi lagi. Lega rasanya.

Mungkin Pengerusi NUTP cawangan Selangor menangguhkan kerana Setiausaha Cawangan sendiri tidak menyertainya kerana beliau juga menerima ijazah pada 20. 06. 2010. Sebenarnya isteri saya belajar kos yang sama dengan Setiausaha NUTP Cawangan Negeri Selangor. Tak kan beliau tak mahu menerima anugerah ini. Sekali sepanjang hidup agaknya. Begitu juga dengan isteri saya. Malahan kejadian di Thailand dikebelakang ini juga menjadi pertimbangan oleh Pengerusi.

Saya akan booking hotel Vistana kerana berhampiran dengan PWTC dan banyak kemudahan di sana. malam ada uptown, LRT terakhir dan tentu memudahkan ke Bukit Bintang. dan sebagainya.

Kepada semua ahli yang telah membayar duit tambang bas, terima kasih dan pasti kita akan berikan tarikh yang baru. Segala kelemahan ini adalah tanggungjawab saya selaku Pengerusi Biro.

30 May 2010

Musim Menuai Dan Pohon Rumbia


Esok 01. 06. 2010 adalah hari yang ku cadangkan agar padi di sawah yang ku sewa daripada emak untuk di tuai. 106 hari amat bersesuaian kerana Jabatan Pertanian menyarankan agar petani menuai padi pada hari ke 105. Berapa tan agaknya aku dapat tuai... namun hati ku amat mengharapkan agar menjangkau kepada lebih 10 tan.

Teringat ketika begini sewaktu aku berumur 9 tahun telah pergi memancing di sawah-sawah padi. Balik sekolah terus pergi memancing. Bukan hendak sangatkan tetapi keseronokan memancing bersama-sama kawan, pelbagai topik yang boleh kita perbincangan seolah-olah hendak menyelesaikan masalah dunia. Baru teringat, Kebanyakan kami memancing dengan menggunakan batang pelepah rumbia laaaa.......... Mana dapat gunakan batang pancing daripada pokok buluh, nak tebang pokok buluh tak boleh hari Selasa dan Khamis, pantang..... dan kadang-kadang tuan punya pokok buluh tak bagi, ada yang bagi tapi terpaksa beli sebatang 20 sen.....mana ada duit dan yang peliknya pernah kami nak curi batang buluh ini ada ular. Jalan yang paling selamat adalah dengan menggunakan batang pelepah rumbia. Tak ada pantang. Macam tak percaya, batang pancing buluh tak boleh kena langkah..... suwe kata orang tua-tua. Tapi kalau pelepah rumbia tak pulak. Apa yang penting seronok. Rumbia-rumbia....... banyak mengajar kami di zaman kanak-kanak agar lebih servival....

Pelepah rumbia sudah tidak lagi digunakan di sawah sebagai ganti orang-orang untuk menghalau burung pipit aji.....eh macam dah lam rasanya tak nampak burung pipit aji. Yang ada hanya kawanan burung pipit. Ajinya dah tak ada. Bila padi mula menguning...sibuk sangat lah menolong bapak membawa pelepah rumbia untuk di pacak di tengah sawah. Panas. Tapi bila terkenang ...... alangkah indahnya suasana begini. jika diberikan peluang untuk kali kedua, ingin rasanya berada di zaman kanak-kanak. Berlari di tepian batas padi ambil mengonggong pelam benban atau pelam air. Cair air liur sewaktu aku memcatat kisah perjalanan hidup ini. Masam-masam manis. Cair air liur.

Daun pokok rumbia dijadikan atap oleh bapak ku yang mana apabila musim menuai akan membina sebuah pondok untuk kami berteduh apabila mengerat padi. Gerenti emak akan buat lempeng tepung sagu rumbia. Rumbia oh rumbia. Terlalu mengagungkan pokok rumbia...tapi anak-anak ku langsung tidak mengenali pokok rumbia. Kenapa ek ?

Alam Persekolahan Dan Pohon Rumbia

Kini, jika di tanyakan kepada semua kanak-kanak atau pelajar menengah atas mungkin tidak tahu bahawa pelbagai perkara yang boleh dimanafaatkan daripada pokok rumbia ini.

Semasa pembelajaran seni misalnya, aktiviti tampalan hanya menggunakan gam daripada pelepah pokok rumbia. Apabila dihiris pelepahnya akan mengeluarkan sejenis cecair yang boleh menjadi gam. Warnanya putih jernih dan bersih. Pagi-pagi sebelum ke sekolah jika ada pelajaran pendidikan seni maka bagaikan pesta pelajar di bawah pokok rumbia untuk mengambil pelepahnya untuk di bawa ke sekolah.

Malahan dalam seni juga, pelajaran anyaman maka daun pokok rumbia akan menjadi sasaran terutama mereka yang berada di kawasan sawah kerana tiada daun pokok kelapa. Maka bertaburanlah daun rumbia di dalam kelas setelah tamat sesi persekolahan. Teringat arwah Busu Mokhlis bin Ajab yang sibuk menyapu di kelas kami. Terima kasih.

Lidi-lidi daripada pokok rumbia kami jadikan sebagai asas membilang dalam pelajaran matematik atau ilmu hisab. Kalau tak ada pasti kena rotan atau berdiri atas kerusi sampai balik.
maklumlah nak cari pembilang daripada batang aiskerim sangat susah. Yang penting ada, pandai nanti dulu. Teringat-ingat aku.

Nanti kita sambung lagi dalam kisah lain.

Bermulanya dengan pohon Rumbia

Salam sejahtera.

Bermulanya penulisan ini setelah keinginan dan kemahuan untuk mencuba sesuatu dalam bidang ICT. Terfikir apakah paparan yang menjadi ingatan dan nostalgia yang sering bermain dalam fikiran. Tinggal dalam sebuah kampung yang dikelilingi pepohon kelapa, sawah padi, pohon mempelam, ubi kayu dan sebagainya. Tapi pohon rumbia yang suatu masa dahulu mewarnai kampung ku kini telah hilang. Hilang kerana rasa kepercayaan masyarakat kampung ku yang menganggapnya telah pudar peranannya.

Bagi ku......pohon rumbia di kampung memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian pada masa lampau. Bagi anak petani seperti aku amat memerlukannnya pada itu.

Yang pastinya aku bersama kanak-kanak lain seperti arwah tandet, jujuh, gondol, endek, asim dan adik ku apok telah mengambil upah untuk mendapatkan pokok sagu bagi diproses mendapatkan tepung sagu. Menebang dengan menggunakan kapak, batangnya sebesar pemeluk akan dipotong-potong menjadikan keratan lebih pendek. Dipikul atau diboncengkan di atas basikal tua dengan rasa gembira dan seronok. Tak tahu penat. Teringat aku. Tahu ke anak anak ku memproses mendapatkan tepung sagu. Mungkin mengenali pohon sagu pun tak tahu.



Pohon Rumbia


Pokok Rumbia atau juga dikenali sebagai pokok Sagu adalah sejenis pokok palma yang terdapat di hutan Indonesia, Malaysia dan Papua New Guinea. Ia boleh merujuk kepada semua pokok dalam spesies Metroxylon, atau khusus kepada Metroxylon sagu sahaja. Terdapat kelainan yang berduri dan tanpa duri dalam spesies ini.

Pokok Rumbia adalah tumbuhan yang hidup di merata hutan pedalaman. Pokok Rumbia juga boleh dijadikan atap. Batangnya pula boleh diproses bagi menghasilkan sagu.

Ia boleh ditanam untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran. Tempoh ia matang bergantung kepada kesuburan tanah. Secara purata, pokok rumbia boleh dituai apabila menjangkau umur 12-13 tahun di tanah mineral dan 15-18 tahun di tanah gambut.

Pokok rumbia yang telah ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelakkan kemerosotan kandungan kanji, biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang.

Tepung sagu rumbia boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, gum gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain.

Pokok Rumbia mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10–12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok Rumbia juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, antaranya suku kaum Bisaya, dan Melanau.

Pokok Rumbia mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6-8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah.

Pokok Rumbia mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunga adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun di mana selepas ini pokok Rumbia akan mati.


nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...